top of page

AUTISME

APA ITU AUTISME?

​

Autisme bermaksud ketidakupayaan seseorang kanak-kanak memahami perkara-perkara di sekelilingnya selain dirinya sendiri. Autisma juga menyebabkan perkembangan diri kanak-kanak menjadi tidak menentu. Peringkat awal autisme boleh dikesan pada awal usia kelahiran ataupun bermula ketika berusia 18 bulan. Tiada ubat dalam masalah autisme kerana ia bukan sejenis penyakit tetapi dengan program pendidikan yang bersesuaian, masalah ini dapat dikurangkan. Autisme melibatkan orang dari pelbagai latar belakang tanpa mengira umur, jantina, bangsa, atau taraf ekonomi. 

​

Autisme adalah satu masalah perkembangan yang paling sukar untuk memahami. Ia merupakan satu fenomena yang luar biasa dan kejadian insiden adalah lebih kurang 5 – 15 setiap 10,000 kelahiran. Ramai kanak-kanak yang mengalami autisme menghadapi masalah komunikasi, tingkah laku, sosial dan adaptasi. Trend pendidikan masa kini menggalakan murid autisme ditempatkan belajar bersama murid normal dalam kelas biasa. Matlamatnya ialah untuk memberi peluang kepada murid autistik menerima pengajaran dan pembelajaran dan menyertai semua aktiviti yang terdapat di sekolah.

​

Biasanya autisme lebih kerap berlaku di kalangan jantina lelaki dibandingkan dengan jantina perempuan, dalam nisbah 4 : 1. Sejak penemuan oleh Kanner pada tahun 1943, ahli penyelidik telah berusaha mencari punca kejadian autisme. 

​

Autisme dapat dikesan menerusi masalah dari segi perkembangan yang melibatkan interaksi sosial,ramai murid dalam situasi tersebut tidak dapat menunjukkan potensi sebenar. Menurut Simpson(2001 ) kanak-kanak dan belia autisme merupakan sebahagian kumpulan yang unik bilamana dibandingkan dengan kanak-kanak berketidakupayaan yang lain.

​

Autisme adalah gangguan spektrum. Ini bermakna bahawa sesetengah individu terjejas dengan autisme pada tahap yang rendah, sesetengah di peringkat sederhana dan sesetengah di tahap yang tinggi.

​

Autisme adalah salah satu bahagian dalam gangguan yang dipanggil “Pervasive Developmental Disorders“ dan satu lagi gangguan dari kumpulan ini ialah ‘Asperger’s Syndrome di mana pertuturan kanak-kanak dan kemahiran kognitif boleh jadi normal. Sebab-sebab autisme tidak diketahui tetapi kemungkinan berpunca dari faktor keturunan atau ketidakseimbangan kimia di dalam otak. Terencat akal boleh berlaku dalam 75% kanak-kanak autisme.

54217325_413644426051625_862514834596010

CIRI-CIRI AUTISME
​

 1.      Pola perlakuan yang unik :

Penerimaan deria yang aneh. Sering membuang masa kepada sesuatu objek yang tidak diketahui fungsinya dan gemar memutar-mutar barang sambil berkhayal. Terlalu menyayangi sesuatu objek sehingga sukar dipisahkan daripadanya. Rutin harian yang dirancang secara detail.

 

2.      Masalah perhubungan dengan orang di sekeliling :

Tempoh masa untuk menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara amat singkat dan tidak berminat dengan kemahiran yang diajar. Suka melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang dan hanya akan berhenti apabila ditegur. Suka bersendirian dan menganggap manusia sebagai objek dan hanya berinteraksi bila di dekati dengan cara-cara tertentu dan dengan individu yang disukai. Tidak mahu bertentang mata sewaktu bercakap seolah-olah mereka melihat menembusinya.

 

3.      Gemar memeriksa anggota badan seperti kaki dan tangan seolah-olah benda itu baru dan pelik

 

4.      Mengalami masalah pertuturan :

Sering mengulangi soalan yang diajukan. Suka meniru percakapan orang lain. Kadangkala menggunakan suara yang luar biasa untuk menuturkan sesuatu perkataan.

 

5.      Sikap atau perasaan yang ganjil dan tidak normal :

Meletuskan kemarahan yang amat sangat atau mengamuk dan disusuli dengan perlakuan agresif. Ianya berlaku tanpa sebab atau kerana kehilangan sesuatu objek yang disayangi atau dilarang dari melakukan sesuatu perkara yang mereka mahu. Mengilai, menangis dan ketawa secara tiba-tiba. Tidak tahu erti bahaya dan gemar melakukan sesuatu yang merbahaya.

 

6.      Intelek yang luar biasa walaupun autisma :

Mereka meminati matapelajaran Matematik. Gemarkan permainan seperti ‘Jigsaw Puzzles’. Suka menyanyi atau mengingati lirik lagu serta suka mendengar semua jenis muzik. Boleh menghafal senarai nombor telefon, tarikh, nama, sajak, dan sebagainya. Mempunyai kemahiran mekenikal yang luar biasa.     

 

7.   Tidak suka kepada perubahan dan sangat susah untuk mengubah sesuatu rutin.

TANDA-TANDA DAN GEJALA AUTISME

 

1. KOMUNIKASI

  • Lambat, tidak normal atau tidak boleh bertutur

  • Bahasa tanpa lisan yang tidak normal ; contoh, kurang pergerakan anggota badan.

  • Kurang cerdas semasa bermain

  • Kurang upaya bergaul atau berbincang dengan orang lain

​​

2. TINDAK BALAS SOSIAL

  • Hilang tumpuan dan kurang mimik muka

  • Tiada kesedaran perasaan terhadap orang lain

  • Suka bersendirian tanpa berkongsi pengalaman dengan orang lain

  • Suka bermain sendirian

​​

3. TINGKAH LAKU YANG BERULANG DARI SEGI MINAT DAN AKTIVITI

  • Menggerakkan anggota badan berulang kali seperti bertepuk tangan, menggoyangkan badan ke hadapan dan belakang, menganguk kepala

  • Menumpukan perhatian kepada satu objek sahaja seperti tayar kereta mainan

  • Tertekan ke atas perubahan kecil yang berlaku dalam persekitaran

  • Hanya berminat terhadap satu atau dua perkara sahaja.

RAWATAN AUTISME

 

Beberapa orang yang pakar dalam bidang ini diperlukan untuk :

  • Membaiki kemahiran sosial

  • Menggalakkan lebih ramai masyarakat mengenal pasti kelakuan mereka

  • Menambahbaikkan komunikasi verbal dan non verbal

  • Membantu keluarga mengendalikan masalah ini dengan jayanya.

​​

Tiada ubat yang dapat menyembuhkan autisme tetapi ada beberapa jenis ubat yang dapat mengawal gejala-gejala yang timbul disebabkan autisme seperti:

  • Kelakuan ganas

  • Hiperaktif

  • Kebimbangan yang mungkin timbul

REHABILITASI

 

BEBERAPA PENCEGAHAN TERMASUK :

​

  • Terapi pertuturan dan bahasa

    • Untuk memperbaiki komunikasi di kalangan kanak-kanak

​​

  • Cara pulih kerja ( occupational therapy )

    • untuk menambahbaikkan kemahiran kemasyarakatan seperti : eye contact, Pemerhatian dan tumpuan serta membantu kanak-kanak menjalankan aktiviti harian.

    • berbagai rangsangan pancaindera / deria

​​

  • Pencegahan tingkah laku ( behaviour intervention )

    • Untuk menurunkan panas baran dan tingkah laku yang ganas

​​

  • Pendidikan khas

    • kanak-kanak autistic perlu berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran supaya keperluan pendidikan mereka dapat diberi. Borang pendaftaran boleh diperoleh di Jabatan Pendidikan atau di sekolah. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan yang dapat memberikan pendidikan kepada kanak-kanak autisme seperti National Autistic Society of Malaysia ( NASOM )

​​

  • Pendaftaran Kurang upaya ( Disability registration )

    • Kanak-kanak Autisme boleh berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan mendapatkan borang-borang di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berhampiran.

bottom of page