top of page

KATEGORI MURID BEKEPERLUAN PENDIDIKAN KHAS (MBPK)

Merujuk kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, murid berkeperluan pendidikan khas ertinya kanak-kanak yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal dan masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan dan masalah yang telah dinyatakan.
mbk.jpg
Kurang Upaya Penglihatan

Murid-murid bermasalah penglihatan memerlukan banyak kemudahan prasarana dan alat bantu belajar sebagai sokongan pada mobiliti dan keselesaan pembelajaran mereka. Antara fasiliti dan alat bantu yang perlu disediakan ialah susur tangan, permukaan bertekstur, tongkat putih, brailler serta kanta pembesar.

​

Terdapat dua kategori utama bagi masalah penglihatan iaitu tidak dapat melihat atau buta yang mempunyai penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata terbaik dan penglihatan terhad atau rabun yang mempunyai penglihatan kurang dari 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik. Murid-murid bermasalah penglihatan dikenal pasti berdasarkan pada rupa dan alatan bantu yang digunakan seperti berikut:

​

  1. Rupa

    • Bebola mata yang selalu berputar-putar

    • Mata yang selalu bergerak-gerak

    • Bintik-bintik putih pada pupil

    • Tiada anak mata

    • Juling

  2. Memegang bahan bacaan terlalu dekat dengan muka ataupun pada sudut berlainan

  3. Menggunakan braille dan kanta pembesar untuk membaca

  4. Menggunakan tongkat putih untuk mobiliti

Kurang Upaya Pendengaran

Murid-murid bermasalah pendengaran sering kali disalahtafsirkan oleh masyarakat dengan menganggap mereka sebagai pekak dan bisu. Pada hakikatnya mereka masih ada sisa-sisa pendengaran dan hanya kehilangan pendengaran yang menyebabkan mereka tidak dapat mendengar secara normal.

​

Masalah pendengaran dapat dibahagikan kepada empat tahap pendengaran berdasarkan tahap desibel (dB) iaitu Ringan (15-30 dB), Sederhana (30-60 dB), Teruk (60-90 dB) dan Sangat Teruk (90 dB ke atas).

 

Murid bermasalah pendengaran dapat dikenal pasti melalui alat bantu yang digunakan dan tingkah laku mereka semasa berkomunikasi seperti berikut:

​

  • Memakai alat bantu pendengaran (ABP)

  • Memakai pacakan koklea

  • Sukar untuk mendengar

  • Butir-butir sebutan kurang jelas dan janggal

  • Bercakap tetapi hanya mengeluarkan bunyi atau bahasa yang tidak difahami

  • Menggunakan bahasa isyarat

Kurang Upaya Pertuturan

Murid-murid bermasalah pertuturan melibatkan pelbagai kategori MBK seperti bermasalah pendengaran dan bermasalah pembelajaran (sindrom down, autisme, palsi sereberum, disleksia, lembam dan sebagainya). Kesukaran dalam berkomunikasi telah melambatkan proses pembelajaran murid dan menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran. Gangguan atau halangan dalam komunikasi juga boleh mempengaruhi emosi dan psikologi murid. Mereka boleh dikenal pasti berdasarkan interaksi secara lisan seperti berikut:

​

  • Cuba berkomunikasi secara lisan tetapi gagal mengeluarkan suara atau bahasa pertuturan yang tidak difahami

  • Pertuturan mereka kendengaran janggal

  • Meninggalkan suku kata, pelat dan sengau bila bercakap

  • Gagap

  • Pengawalan suara yang lemah. Suara yang dikeluarkan pula lembut, garau dan kasar.

  • Kesukaran dalam penggunaan perkataan dengan yang tepat dan mempunyai masalah kefahaman.

Kurang Upaya Fizikal

Murid kurang upaya fizikal ialah murid yang mengalami ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan fungsi atau tidak mempunyai satu anggota di mana-mana bahagian anggota badan termasuklah keadaan anggota yang tidak sempurna yang mana keadaan ini akan menjejaskan keupayaannya.

 

Jenis yang termasuk dalam kategori ini ialah kerdil, kudung tangan atau kaki atau keduanya, kudung ibu jari tangan, lumpuh, spina bifida, muscular dystrophy dan cerebral palsy. Bagi kekurangan (impairment) yang tidak menjejaskan fungsi seperti kudung satu jari, mempunyai 6 jari atau lebih dan tidak ada atau kurang sempurna cuping telinga tidak dikategorikan sebagai kurang upaya fizikal.

Masalah Pembelajaran

Murid-murid bermasalah pembelajaran ialah murid yang menghadapi masalah kecerdasan otal yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah lembam, down syndrome, kurang upaya intelektual, autisme, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), masalah pembelajaran spesifik (dyslexia, dyscalculia, dygraphia) dan lewat perkembangan global (global development delay).

Kurang Upaya Pelbagai

Murid yang mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan di bawah mana-mana lima (5) kategori lain yang sedia ada. Contohnya, seorang individu yang mengalami 2 jenis ketidakupayaan dari segi penglihatan dan pendengaran akan didaftarkan dalam kategori kurang upaya pelbagai.

bottom of page