top of page

DISKALKULIA

APA ITU DISKALKULIA?

Merujuk kepada istilah sastera, "Dys" dalam bahasa Greek bermaksud kesukaran, "Calculia" dalam bahasa Latin bermaksud pengiraan. Maka Diskalkulia didefinisikan sebagai masalah pembelajaran spesifik yang mempengaruhi pemerolehan / pembelajaran kemahiran aritmetik.

Diskalkulia diterangkan sebagai sesuatu keadaan yang mempengaruhi keupayaan menguasai / memperolehi kemahiran aritmetik. Kanak-kanak diskalkulia menghadapi masalah dalam memahami konsep nombor yang mudah, kekurangan kefahaman intuisi terhadap nombor dan bermasalah dalam mempelajari fakta nombor dan prosedur-prosedur. Contohnya, mereka tahu 3+5=8, tetapi tidak dapat mentafsirkan bahawa 5+3=8. Walaupun mereka dapat menghasilkan jawapan yang betul, tetapi mereka melakukannya dengan tanpa keyakinan diri.

SIMPTOM-SIMPTOM DISKALKULIA

Seseorang yang menghadapi masalah Diskalkulia akan menghadapi kesukaran:

  • Mengenal nombor dan simbol-simbol dalam matematik seperti +, -, x dan ÷

  • besar dan kecil. Contohnya: tidak dapat menentukan nilai terbesar antara 23 dan 32

  • mengira dalam bilangan 2 atau 5 dan sebagainya serta tertib menurun

  • membuat anggaran dan pengukuran, seperti saiz, nilai, wang, jarak atau cecair

  • mengira wang atau melihat masa

  • membaca peta dan jadual, kerana kurang kesedaran tentang kedudukan, arah, orientasi dan organisasi ruang

  • menggunakan peraturan dan prosedur, oleh itu mereka tidak dapat mengingati langkah-langkah untuk menyelesaikan pengiraan matematik

  • Lemah dalam pengiraan spontan.

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA DISKALKULIA

1. Wujud sejak lahir atas faktor genetik

  • Kecederaan pada otak sebelah kiri berdekatan dengan telinga, kerana otak kiri berfungsi menterjemahkan angka-angka.

2. Pendedahan awal matematik yang mendesak

  • pendedahan sebelum kanak-kanak bersedia untuk menerima konsep matematik menyebabkan kanak-kanak berasa bimbang apabila berhadapan dengan soalan matematik dan menjadi fobia kepada pembelajaran matematik. Kanak-kanak yang pernah mengalami trauma dengan pelajaran matematik biasanya kehilangan rasa percaya pada dirinya.

3. Faktor pengajaran di sekolah

  • Pelajar yang lemah tidak dapat menguasai sesuatu kemahiran dengan sepenuhnya kerana guru perlu menghabiskan sukatan pelajaran seperti yang ditetapkan.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI DISKALKULIA

 

  • Diagnosa diskalkulia harus dilakukan oleh pakar dalam bidang diskalkulia.

  • Bentuk terapi atau rawatan yang akan diberikan juga harus berdasarkan evaluasi terhadap kemampuan dan tingkat pencapaian kanak-kanak secara terperinci dan menyeluruh.

  • Cuba menvisualkan konsep Matematik yang sukar difahami, dengan menggunakan gambar ataupun cara lain untuk kanak-kanak faham kehendak yang diperlukan. Mereka juga perlu dilatih membaca masalah matematik dengan kuat dan mendengar dengan teliti bagi mengukuhkan kemahiran mendengar.

  • Sebaik-baiknya setiap masalah matematik yang diberi perlu dikaitkan dengan situasi seharian.

  • penggunaan kertas graf perlu digalakkan. Ini membolehkan kanak-kanak ini menulis nombor mengikut garisan.

  • Kanak-kanak ini juga perlu diberi masa tambahan bagi mengingati fakta dan formula matematik. Salah satu cara adalah dengan hafalan yang berbentuk irama muzik:

    • Seeloknya konsep Matematik ataupun angka-angka yang hendak diajar perlulah secara bertulis supaya senang kanak-kanak melihatnya dan bukan secara abstrak.

    • Sentiasa mendorong kanak-kanak berlatih mengingati secara kreatif, dengan mengingat angka-angka mudah seperti alunan nyanyian atau cara lain yang memudahkan ingatan kepada konsep-konsep angka.

    • Pujilah setiap kali kanak-kanak menunjukkan kemajuan di atas usaha yang dilakukan. Lakukan proses perkaitan antara konsep yang sedang diajarkan dengan kehidupan seharian, agar kanak-kanak mudah memahaminya

SOKONGAN KELUARGA

  • Ahli keluarga, khasnya ibubapa perlu mengambil bahagian sepenuhnya bagi membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran

  • Sentiasa merujuk kepada guru kelasnya untuk mengikuti perkembangan anak di sekolah.

  • Mengajar anak-anaknya atau memberi pendedahan tentang pengiraan melalui permainan

  • Memberi peluang kepada mereka untuk berhadapan dengan pengiraan dan penghitungan dalam aktiviti harian

  • Ibubapa memberi kerjasama dengan pihak sekolah bagi membimbing anak-anak mereka supaya berjaya dalam kehidupan.

Penafian : Pihak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Pengiran Omar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman sesawang ini.

© 2020 - 2024 PPKI SMK PENGIRAN OMAR

bottom of page