top of page

PINTAR CERDAS

DAN BERBAKAT

APA ITU PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT?

​

Pintar cerdas dan berbakat adalah salah satu kategori dalam masalah pembelajaran pendidikan khas. Namun masalah pintar cerdas dan berbakat ini adalah berbeza dengan masalah pembelajaran yang lain kerana masalah pembelajaran lain melibatkan kekurangan fungsi anggota badan dan otak sebaliknya masalah pintar cerdas dan berbakat ini adalah melibatkan kelebihan otak atau boleh berfikir lebih lagi daripada kanak-kanak yang sebaya dengan mereka.

​

Kanak-kanak pintar cerdas ini secara umumnya mempunyai keunikan mereka tersendiri. Kebolehan dan kelebihan mereka telah ditonjolkan sejak dari awal lagi, dan keadaan ini boleh dikenalpasti oleh ibu bapa mereka sendiri.Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat sebenarnya mempunyai potensi yang tinggi dalam pelbagai bidang mengikut kecenderungan masing-masing. Keupayaan mereka adalah berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengan mereka dan sesetengahnya dapat mengatasi kepintaran atau kebolehan yang dimilki oleh orang yang lebih dewasa daripadanya.

​

Terdapat pelbagai definisi atau makna pintar cerdas dan berbakat. Salah satunya menurut Jim Delisle dan Judy Galbraith (2002), tidak ada seorang pun yang benar, tepat atau secara umumnya boleh diterima definisi yang mereka berikan mengenai pintar cerdas. Ini adalah kerana setiap pakar yang memberikan definisi mengenai pintar cerdas akan memberikan pandangan berdasarkan kepada kepakaran mereka. Beliau juga bersetuju dengan definisi yang diberikan oleh Howard Gardner iaitu “The bottom line is a deep interest in children and how their minds are different from one another, and in helping them use their minds well”.

​

Manakala menurut Kamus Dewan pula, pintar cerdas diistilahkan sebagai cekap dan pandai, manakala cerdas didefinisikan sebagai sempurna anal. Maka, secara umumnya, pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan.

​

Seterusnya menurut Nik Azis Nik Pa dan Noor Aini Khalifah (1982), kanak-kanak pintar cerdas adalah mereka yang mempunyai interaksi tiga kelompok sifat manusia iaitu kebolehan intelek umum yang atas purata (murid yang mempunyai IQ melebihi 120 dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas), aras yang tinggi dalam tanggungjawab kepada tugas dan aras kreativiti yang tinggi.

​

Daripada pelbagai definisi yang diberikan, ini menunjukkan bahawa, pintar cerdas boleh kita takrifkan sebagai satu kepandaian luar biasa yang dimiliki oleh seseorang yang mengatasi rakan yang seusia. Namun demikian, sesorang kanak-kanak pintar cerdas itu tidak semestinya mempunyai semua ciri-ciri yang biasanya disenaraikan sebagai ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas. Walaubagaimanapun pemantauan yang berterusan ke atas kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai pintar cerdas akan membantu bahawa mereka mengembangkan lagi potensi yang sudah sedia ada dalam diri mereka. Namun demikian, kadangkalanya kanak-kanak pintar cerdas ini juga digolongkan dalam kumpulan kanak-kanak bermasalah positif kerana sikap mereka yang tidak sama berbanding kanak-kanak seusianya dan ini mungkin menimbulkan masalah kepada guru-guru di sekolah untuk mengawal dan memberi tumpuan yang berbeza kepada mereka.

FAKTOR PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT
​

Pintar cerdas berpunca dari suatu sifat semulajadi atau perlakuan yang ada pada diri seseorang Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan berlakunya keadaan pintar cerdas dan berbakat iaitu faktor dalaman dan faktor persekitaran.

​

Faktor Dalaman

Bagi faktor dalaman atau intrapersonal seperti keadaan emosi yang sejahtera dan konsep kendiri yang positif. Apabila kanak-kanak itu mempunyai emosi yang sejahtera dan konsep kendiri yang positif, mereka akan menjadi lebih yakin untuk belajar dan mencuba sesuatu yang baru. Ini akan mendorong mereka untuk berfikir secara luar biasa lain dari kanak-kanak yang tidak stabil emosi dan tiada keyakinan kendiri 

​

Faktor Luaran

Faktor luaran atau faktor persekitaran juga turut berperanan sebagai pemangkin kepada kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Keadaan ini merujuk kepada aspek-aspek sokongan di rumah dan di sekolah. Kanak-kanak yang mendapat sokongan daripada ibu bapa akan lebih berkeyakinan. Ibu bapa yang melatih anak-anak mereka untuk berfikir secara kreatif dan kritis akan melahirkan anak yang pintar cerdas dan berbakat. Manakala bagi sekolah pula, jika iklim dan keadaan di sekolah tersebut adalah baik dan mempunyai ramai pelajar yang pintar ini akan mendorong pelajar lain juga untuk menjadi pintar cerdas dan berbakat.

CIRI-CIRI PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

 

Jika hendak disenaraikan ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini adalah terlalu banyak. Namun demikian ia boleh dikategorikan kepada dua ciri utama iatu ciri-ciri kognitif dan juga ciri-ciri afektif.

 

Ciri-ciri Kognitif 


Kognitif adalah merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental yang terlibat dalam beberapa keupayaan untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah, menaakul, menganalisis, dan membentuk konsep. Biasanya keupayaan kognitif kanak-kanak dalam golongan pintar cerdas ini dapat dikenalpasti seawal peringkat bayi lagi. Perkembangan kanak-kanak ini dapat diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa kerana biasanya mereka akan menunjukkan perkembangan yang lebih jauh berbanding dengan kanak-kanak seusianya. Sebagai ibubapa yang perihatin mereka akan memberikan sokongan dan tumpuan yang lebih bagi membantu perkembangan kanak-kanak ini. Tahap kebolehan kognitif kanak-kanak boleh diuji menggunakan ujian IQ. Kanak-kanak pintar cerdas biasanya akan mencapai tahap pencapaian sebanyak 140, namun kadangkalanya mereka boleh mencapai sehingga 170 mata. Namun demikian, kesahihan ujian ini masih boleh dipertikaikan kerana ada yang mengatakan perbezaan tahap umur akan menjejaskan perbandingan pencapaian dalam ujian IQ ini.


Di bawah ini akan disenaraikan beberapa ciri kognitif kanak-kanak pintar cerdas. Antaranya ialah;


i) Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya mempunyai daya tumpuan yang tinggi dalam melakukan sebarang kerja atau aktiviti.
Contohnya kanak-kanak yang diberikan permainan “blok dan puzzle” akan berusaha sedaya upaya bagi melengkapkannya. Mereka akan meninggalkan atau tidak menghiraukan orang atau keadaan sekeliling mereka kerana daya tumpuan mereka terhadap aktiviti yang menarik minat mereka yang terlalu tinggi. Mereka juga kurang berminat dengan permainan yang dimilki oleh rakan mereka. Dalam proses pembelajaran pula, mereka akan memberi sepenuh tumpuan mereka kepada bidang yang mereka minati.


ii) Boleh dan mempunyai minat membaca diusia yang muda.
Biasanya kanak-kanak ini akan mula boleh membaca dalam usia kurang daripada 5 tahun. Mereka juga akan fasih bercakap disamping boleh menggunakan laras bahasa dan kosa kata yang tinggi jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang seusianya.


iii) Mempunyai kelebihan yang luar biasa dalam mengingat sesuatu.
Dengan kelebihan yang mereka ada, mereka tidak perlu menghafal sesuatu fakta atau ilmu yang mereka pelajari. Mereka hanya perlu memahami isi kandungan dan akan meluahkan semula menggunakan bahasa sendiri. Kelebihan yang ada juga dapat membolehkan mereka membaca dengan cepat dan cepat memahami apa yang mereka ingati.

iv) Perasaan ingin tahu
Disebabkan perasaan ingin tahu mereka yang kuat, kanak-kanak pintar cerdas biasanya akan sentiasa mengemukakan soalan-soalan yang mencabar dan inovatif yang mana kadangkalanya pemikiran mereka diluar jangkauan akal kanak-kanak normal. Pada peringkat kanak-kanak lagi sifat ini boleh dikenalpasti, contohnya mereka akan membuka kereta mainan mereka untuk mengetahui komponen-komponen yang ada dalam kereta tersebut. Kadangkalanya sifat ini akan dikenalpasti sebagai perosak oleh ibubapa yang kurang memahami anak mereka yang pintar cerdas.


v) Kebolehan membuat rumusan, menganalisa dan menaakul
Kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja mampu untuk memahamai pelajaran malah mereka juga boleh membuat rumusan ke atas proses pengajaran dan pembelajaran serta boleh menganalisa dan memberi alasan kepada keputusan yang diambil selepas sesuatu analisa dibuat.


vi) Memindahkan apa yang dipelajari ke bidang lain.
Contohnya, mereka boleh mengaitkan teori-teori yang dipelajari berkaitan dengan burung dengan mengaitkannya dengan bagaimana terciptanya kapal terbang.


vii) Memahami dua konsep yang seolah-olah sama
Ini bermaksud kanak-kanak pintar cerdas ini mampu memahami atau membezakan dua konsep yang seolah-olah sama contohnya mereka dapat membezakan konsep berat dan ketumpatan, cahaya dan terang dan menakrifkan perbezaan antara makan dan minum.


viii) Tertarik kepada pemikiran abstrak
Kanak-kanak pintar cerdas ini mampu memahami pengetahuan yang canggih, abstrak dan kompleks sehingga diluar jangkauan akal kanak-kanak normal yang lain. Umpamanya mereka akan cuba memikirkan alam selepas kematian manusia.


ix) Memahami kebolehan intelek sendiri
Kanak-kanak pintar cerdas ini telah menyedari potensi mereka pada peringkat awal usia mereka lagi, jadi dengan kesedaran itu maka mereka akan cuba untuk melakukan sesuatu mengikut impian dan juga gaya pembelajaran mereka sendiri. Mereka telah menyedari di mana kekuatan yang mereka ada dan akan mengaplikasikannya bagi mencapai matlamat mereka. Mereka juga menyedari bahawa sekiranya mereka tidak mengaplikasikan pengetahuan yang mereka ada mungkin mereka akan lupa.


Ciri-ciri Afektif

​

Menurut kamus Dewan edisi keempat, afektif adalah berkaitan dengan perasaan dan emosi dan bukannya fikiran atau daya berfikir. Untuk memperkembangkan minat dan motivasi di kalangan kanak-kanak ciri-ciri afektif haruslah berkembang serentak dengan ciri-ciri kognitif mereka.

 

Manakala menurut Krathwohl dan rakan-rakannya (1964) iaitu orang pertama yang menggunakan terminology ‘afektif” telah menemukan satu lagi domain penting adalam perkembangan manusia iaitu afektif. Mereka telah mengkategorikan afektif kepada 3 ciri iaitu penerimaan (receiving), tindakbalas (responding), menghargai dan menilai sesuatu idea (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set) dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterization).

 

Antara ciri-ciri afektif kanak-kanak pintar cerdas ialah;


i)karismatik
Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya mempunyai gaya tersendiri dan personaliti yang agak berbeza daripada orang lain. Oleh itu biasanya mereka akan menjadi bintang di sekolah dimana mereka akan menjadi perhatian dalam masyarakat di sekelilingnya.

 

ii) Mementingkan kesempurnaan (Perfectionist)
Kanak-kanak pintar cerdas ini akan melakukan kerja-kerja dengan penuh minat dan mereka amat mementingkan kesempurnaan. Walaupun mereka dapat menyiapkan kerja-kerja mereka namun masih mementingkan kepada kesempurnaan dan sikap ini akan menyebabkan mereka meluangkan banyak masa terhadap apa jua kerja yang dilakukan. Kadangkalanya mereka akan melakukannya sehingga berulang kali bagi mendapatkan hasil yang benar-benar memuaskan hati mereka. Sikap ini juga kadangkalanya akan menimbulkan kemarahan dan ketidak puasan hati mereka terhadap orang lain atau rakan-rakan mereka kerana mereka juga akan menjangkakan hasil yang sama seperti yang dilakukannya daripada orang lain.

 

iii) Berasa tertekan
Sebagai seorang yang bersikap teliti dan mempunyai matlamat sendiri semenjak dari awal lagi, mereka akan mudah rasa tertekan dalam usaha untuk mengatasi orang lain. Sikap ini juga menunjukkan bahawa mereka takut kalah kepada orang lain dan akan mencetuskan kesan sosio emosi yang lain seperti cemburu.

 

iv) Sensitif
Kanak-kanak pintar cerdas biasanya mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Mereka akan berfikir di luar jangkauan kanak-kanak normal dan ini akan menyebabkan mereka mudah terangsang. Contohnya ketika tidur, mereka mudah terjaga kerana terlalu memikirkan imaginasi mereka. Mungkin bila menonton cerita seram, mereka mula memikirkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan rentetan cerita tersebut. Berikutan dengan sikap ini mereka mungkin akan menjadi fobia kepada bencana seperti kegelapan dan kematian kerana mereka akan sentiasa memikirkan. Contohnya mereka akan selalu bertanya mengenai soal kematian, apa yang berlaku kepada manusia selepas mati, boleh tak kalau manusia tak mati. Persoalan-persolan seumpama ini akan menyebabkan mereka menjadi terlalu sensitif dan fobia kepada sesuatu kejadian.

 

v) Sentiasa bekerja kuat
Kanak-kanak pintar cerdas biasanya telah mengenalpasti matlamat mereka sejak awal lagi dan mereka akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat mereka itu. Disebabkan terlalu memikirkan kepada sesuatu yang dilakukan sehingga kadang kalanya mereka tidak tidur. Contohnya kanak-kanak yang bermain “puzzle”, mereka tidak akan tidur sehinggalah dapat melengkapkannya.

 

vi) Suka menyendiri
Disebabkan terlalu menumpukan kepada kerja, kanak-kanak pintar cerdas ini dikatakan lebih suka menyendiri dan menyebabkan hubungan sosialnya agak kurang baik.

CIRI-CIRI NEGATIF PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT​

 

i) Permasalahan dari segi perkembangan asynchronous. 

Kanak-kanak ini boleh memahami sesuatu secara intelektual mengenai perkara yang abstark tetapi tidak mampu untuk menangani perkara yang melibatkan emosi. Mereka juga boleh terlibat dalam perbualan orang dewasa tetapi boleh menangis hanya kerana mainan kesukaan mereka diambil oleh kanak-kanak lain. Dalam kebanyakan hal kanak-kanak ini tidak mampu mengawal emosi dengan baik. Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini sangat sensitif dari segi emosi dan tingkahlaku contohnya mereka akan mudah kecewa dalam hal-hal kecil, boleh mengalirkan air mata apabila melihat keindahan matahari terbenam, atau ketika mendengar lagu serta sanggup untuk berhenti memakan daging kerana simpati terhadap haiwan.

​

​

ii) Mementingkan ketelitian dan kesempurnaan boleh mendorong mereka ke arah kekecewaan.

Hal ini kerana apabila mereka terlalu ingin berjaya tetapi takut untuk gagal mereka tidak akan berani untuk memcubanya, keadaan ini akan mendorong ke arah putus asa.

​

iii) Permasalahan dari segi pertuturan yang terlalu kehadapan dan kebolehan untuk memberi alasan.

Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini biasanya bersikap tidak mahu mengalah walau dalam apa-apa perkara sekalipun bahkan kadangkala degil. Mereka yang pandai bercakap akan cuba dan boleh mempengaruhi orang lain dengan memujuk. Seterusnya mereka akan bersikap tunjuk pandai terhadap ibu bapa dan guru.

​

iv) Seringkali meminta maklumat atau data-data yang lengkap untuk menjawab sesuatu soalan dan seringkali juga suka mencari jawapan sendiri kerana mereka malas untuk bersosial.

KRITERIA PENENTUAN PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT​

 

Terdapat bebarapa kriteria penentuan bagi menentukan dan mengenalpasti kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat iaitu kaedah perlu dipilih samada ia memenuhi keperluan kanak-kanak. Penilaian perlu diasaskan kepada penyelidikan dan pengetahuan yang baik. Selain itu keadah penelitian juga tidak boleh bias kepada mana-mana kumpulan kanak-kanak seperti mengikut etnik. Penilaian yang dijalankan juga perlulah komprehensif dan cekap. Antara yang lain ialah kaedah penilaian tidak perlu lebih daripada untuk mendiagnosis.

​

Dalam proses penentuan kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini terdapat berberapa proses. Pertama ialah laporan ibu bapa yang mana mereka mempunyai maklumat yang terperinci mengenai perkembangan anak-anak mereka. Kedua ialah pemerhatian guru, guru boleh mengenalpasti kanak-kanak ini dengan merujuk kepada senarai semak yang memberikan tanda-tanda bahawa kanak-kanak ini pintar cerdas. Ketiga adalah melalui pemerhatian berstuktur yang mana guru akan memberikan deskripsi dalam istilah khusus apa yang dilakukan oleh kanak-kanak ini. Proses kelima ialah melalui senarai semak. Senarai semak ini boleh memberi petunjuk kepada guru untuk mereka mengenalpasti kanak-kanak ini.

 

Seterusnya yang keenam ialah dengan membuat portfolio dan di dalamnya boleh dimasukkan nota pemerhatian tentang bahasa dan tingkahlaku, contoh gambar kerja murid-murid dan contoh kerja yang menunjukkan kebolehan luar biasa bagi kanak-kanak tersebut. Langkah ketujuh dalam menentukan kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ialah dengan melakukan ujian rujukan norma yang mana melalui ujian ini ianya akan dapat memberi maklumat tentang kanak-kanak istimewa ini berbanding kanak-kanak biasa. Langkah kelapan pula ialah melalui ujian kecerdasan. Jika kanak-kanak tersebut memperoleh lebih daripada 120 mata mereka dianggap pintar cerdas dan berbakat.

KEPERLUAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

​​

Setelah mengenalpasti ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini, adalah lebih mudah bagi menentukan program yang bersesuaian dengan mereka. Ini adalah kerana pengenalpastian ciri-ciri kepintaran seseorang individu adalah langkah penting dalam menyediakan program yang membuahkan kejayaan dengan program yang sesuai serta menepati keperluan kanak-kanak pintar cerdas. (Cox, Daniel & Boston, 1985).


Keperluan yang akan dibincangkan di sini adalah lebih tertumpu kepada kurikulum dan keperluan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas. Kanak-kanak pintar cerdas merupakan golongan minoriti istimewa yang memerlukan perhatian khusus seperti juga kanak-kanak berkeperluan khas yang lain.

 

Di Malaysia program bagi kanak-kanak berkeperluan khas telah diberi banyak penumpuan namun usaha masih kurang dijalankan bagi memberi tumpuan khusus kepada golongan kanak-kanak pintar cerdas ini. Sebenarnya kanak-kanak pintar cerdas juga memerlukan perhatian khusus kerana mereka akan merasa cepat bosan dengan program pembelajaran biasa. Akhirnya mereka digolongkan dalam kumpulan kanak-kanak istimewa kerana bersikap mengganggu rakan dan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

 

Menurut Joyce Van Tassel Baska, isu yang biasanya dikaitkan dengan kanak-kanak pintar cerdas ialah mereka biasanya akan dilabel sebagai ‘bermasalah’, tidak mendapat ekuiti atau kesamarataan, biasanya keperluan golongan majoriti menjadi keutamaan, keperluan yang diberi tidak bertepatan dan sistem pengredan yang terlalu sempit.

​

Bagi memenuhi keperluan kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini, pengubahsuaian kurikulum perlu dilakukan. Mereka lebih memerlukan pengajaran dan pembelajaran di dalam aspek lisan dan disiplin kuantatif. Kurikulum kanak-kanak pintar cerdas seharusnya mengandungi aspek-aspek berikut seperti meneroka isu-isu ilmu dan pengetahuan, kurikulum pembelajaran dan pengajaran perlu memasukkan proses berfikir secara kritis dan kreatif. Selain itu, kurikulum istimewa untuk kanak-kanak ini juga harus melibatkan kedua-dua  bidang disiplin dan orientasi antara disiplin. Pembelajaran juga hendaklah mengarah kepada belajar secara bebas

​

Oleh itu, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini tidak seharusnya diasingkan daripada pelajar lain sebaliknya dibiarkan bergaul sesama mereka. Kanak-kanak pintar ini hendaklah dibimbing dan dibantu agar bakat dan kebolehan mereka tidak terbiar begitu sahaja dan lama-kelamaan akan hilang.

bottom of page