top of page

RANCANGAN PENDIDIKAN INDIVIDU (RPI)

APA ITU RANCANGAN PENDIDIKAN INDIVIDU (RPI)?

​

Rancangan Pendidikan Individu (RPI) adalah satu dokumen bertulis. Ia dirancang khusus untuk seseorang murid. Ia juga dibentuk bertujuan mendokumentasikan segala pengubahsuaian dan penerapan ke atas program pembelajaran serta perkhidmatan yang disediakan.

 

RPI merupakan satu dokumentasi perancangan berstruktur dengan langkah yang berbeza dan keperluan pengajaran yang sepatutnya untuk membantu murid berkeperluan khas mencapai objektif yang telah dikenalpasti.


Menurut (Buku Panduan Rancangan Pendidikan (RPI) Individu Murid-Murid Berkeperluan Khas, 2000) Rancangan Pendidikan Individu (RPI) adalah satu dokumen bertulis yang menjelaskan matlamat perancangan pendidikan yang dirancang untuk setiap murid berkeperluan khas dan dijadikan panduan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan boleh menyatakan tahap pencapaian murid. 

 

Dengan RPI, ibu bapa dan guru dapat bekerjasama dalam beberapa aspek seperti menentukan keperluan pembelajaran murid, keperluan bagi mencapai keperluan itu dan hasil pembelajaran yang dijangkakan. RPI disemak dan diteliti apabila berlaku perubahan dalam keperluan pembelajaran murid.

​

Penulisan RPI adalah komitmen pihak sekolah bagi menyediakan sumber-sumber yang diperlukan dan dipersetujui bersama. Dengan adanya RPI, pencapaian murid dapat dilihat dengan jelas dan dapat bertindak sebagai penilaian bagi murid ituu dalam mencapai matlamat objektif. Di samping itu, RPI juga adalah satu titik pertemuan bagi menyelesaikan isu yang mungkin timbul dengan wujudnya kesepakatan antara pelbagai pihak.

​CIRI-CIRI RPI
​

Rancangan Pendidikan Individu yang dibentuk perlu mengandungi ciri-ciri berikut :

 

a) Komprehensif
RPI merangkumi aspek ketidakupayaan murid, termasuk aspek komunikasi, tingkah laku, sosial, pengurusan diri, akademik, kemahiran motor kasar dan koordinasi motor-tangan, kemahiran vokasional dan transisi, perkhidmatan yang berkaitan penempatan yang diperlukan sama ada di program biasa, vokasional ataupun pendidikan khas.

 

b) Spesifik
Matlamat dan objektif bagi RPI dinyatakan dalam bentuk tingkah laku yang dapat diperhatikan dan diukur.

 

c) Mengikut urutan
RPI dibentuk berdasarkan urutan perkembangan dan fungsi kemahiran.

 

d) Realistik dan sesuai
Matlamat dan objektif yang dinyatakn dalam RPI perlu sesuai dengan tahap fungsi dan kadar perkembagan sedia ada setiap murid.

 

e) Difahami
RPI direkodkan dengan menggunakan bahasa yang difahami oleh para profesional dan juga ibubapa dan dapat menjejaskan apa yang perlu diketahui.

​

f) Dipersetujui
RPI adalah program yang dipersetuujui ibubapa, guru, murid dan professional lain yang terlibat. 

ELEMEN RPI 

 

a) Kerjasama
Berkerja dalam kumpulan merupakan elemen penting dalam RPI. RPI dirangka oleh sekumpulan individu yang terlibat secara langsung dengan pendidikan dan kebajikan murid berkenaan. Oleh itu, ibu bapa dan guru merupakan orang yang sangat penting dalam proses ini.

b) Berkongsi Maklumat
Perancangan RPI mesti berdasarkan kepada maklumat yang dikumpul daripada individu yang mempunyai hubungan rapat dengan murid. Maklumat ini mesti dikongsi bersama dan menjadi asas kepada keputusan untuk membina perancangan pendidikan yang akan dibuat.


c) Keputusan Bersama
Guru, Ibu bapa dan kumpulan pelbagai disiplin bekerjasama untuk menyediakan RPI. Mereka perlu membuat keputusan bersama untuk menentukan apa yang diperlukan oleh murid berkenaan dan bagaimana RPI dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

d) Kebolehpercayaan
Objektif pengajaran dan prosedur penilaian perlu diterangkan dalam RPI. RPI juga perlu dibuat semakan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa.

e) Dokumentasi
RPI perlu didokumentasi bagi tujuan rujukan dan panduan semua pihak.

f) Proses dan hasil
RPI merupakan proses yang meliputi aktiviti bagi memastikan program pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan untuk murid berkenaan.

KEPENTINGAN RPI

​

Kepada Murid

  • Setiap RPI yang digubal untuk mengenalpasti keperluan murid-murid dan cara bagaimana keperluan-keperluan tersebut dapat dipenuhi  seperti peralatan khas seperti alat bantu mendengar, kanta pembesar  dan mesin Braille. Termasuk bidang khas seperti orientasi dan mobiliti,  kemahiran hidup dan bahasa isyarat.

  • Mengenalpasti masalah utama yang dihadapi oleh murid. Contoh Pengurusan Tingkah Laku dan Pengurusan Diri. 

  • Mengenalpasti kemahiran utama  yang belum dikuasai oleh murid. Contoh kemahiran 3M. 

  • Membantu meningkatkan penguasaan kemahiran dan mengurangkan masalah yang dihadapi.

 

 Kepada Guru Matapelajaran/Kelas/Resos

  •  Memberi peluang kepada guru untuk mendapat maklumat tentang murid.

  •  Menyediakan forum untuk mendapatkan sokongan dan khidmat bantu daripada pihak yang berkenaan.

  •  Menyediakan dokumentasi bagi tujuan kesinambungan amalan dalam khidmat bantu sokongan diperlukan. 

  •  Mendapatkan khidmat nasihat  daripada kumpulan pelbagai disiplin.

  •  Memastikan RPI disimpan dan difailkan dengan baik sebagai bahanrujukan.  

  •  Menyediakan penilaian yang sesuai bagi memastikan     kekuatan dan keperluan murid. 

  •  Bertanggungjawab membina aktiviti pembelajaran dan bahan bantu belajar yang dapat memenuhi keperluan murid.

  •  Mengekalkan komunikasi dan hubungan baik dengan pihak ibu bapa, guru-guru lain, profesional dan pegawai khidmat bantu yang terlibat.

         

 Kepada Ibubapa

  • Memberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam penyediaan matlamat dan objektif pembelajaran anak mereka.

  • Memberi peluang untuk mendapat penerangan dengan jelas tentang perkara yang perlu dilakukan bagi membantu pembelajaran anak   mereka di rumah. 

  • Memberi peluang untuk  berkongsi maklumat dengan kumpulan pelbagai disiplin yang terlibat secara langsung dengan anak mereka.        

 

Kepada Pentadbir sekolah

  •  Membolehkan pihak pentadbir sekolah mengenalpasti bantuan dan keperluan murid berdasarkan maklumat RPI yang diterima.

  •  Mewujudkan rasa tanggungjawab dan prihatin bagi pihak pentadbir terhadap pelaksanaan RPI.

  •  Merapatkan jurang antara pihak pentadbir sekolah dengan  PPKI.
     

Kepada Kumpulan Pelbagai Disiplin

Ahli Jawatankuasa lain yang sewajarnya turut dilibatkan dalam perjumpaan bagi membentuk Rancangan Pendidikan Individu  (jika perlu) adalah:-
a) Ahli Fisioterapi
b) Ahli terapi cara kerja
c) Patologi Pertuturan Bahasa
d) Kaunselor
e) Agensi Pemulihan
f) Guru Kelas Biasa
g) Guru Vokasional

​

  • Dapat berbincang tentang kemudahan (contohnya penterjemah bahasa isyarat dan lain-lain) yang dapat membantu murid belajar dengan lebih berkesan.

  • Mengenalpasti bentuk khidmat bantu yang diperlukan.

  • Menyediakan rangka panduan pembelajaran yang selari dengan keperluan pentaksiran kurikulum. 

  • Setiap  ahli dapat berkongsi maklumat tentang tingkahlaku dan bentuk atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan individu murid.

GARIS PANDUAN PELAKSANAAN PENGHASILAN RPI
​

  1. Jawatankuasa RPI hendaklah dianggotai oleh Pengetua atau Guru Besar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas atau Penyelaras Program Pendidikan Khas, semua guru pendidikan khas, PPM, semua ibu bapa atau wakil kumpulan pelbagai disiplin mengikut keperluan dan murid.

  2. Guru pendidikan khas menjalankan ujian diagnostik seperti pemerhatian, temubual, ujian lisan, ujian bertulis untuk mengenalpasti masalah.

  3. Perbincangan  dibuat bersama ibu bapa dan jawatankuasa berdasarkan cadangan guru melalui ujian diagnostik yang dijalankan.

  4. Menetapkan kemahiran atau masalah yang perlu diberi perhatian.

  5. Menetapkan matlamat, objektif yang hendak dicapai dan tempoh pelaksanaan.

  6. Membina RPI dan menetapkan cadangan strategi untuk atasi masalah.

  7. Menjalankan intervensi bersama sumber dan alatan yang diperlukan.

  8. Menganalisis dapatan dan tindakan susulan.

  9. Memberikan laporan pencapaian kepada ibu bapa untuk RPI seterusnya.

bottom of page